Alhamdulillah. Misi tertunda untuk berpuasa sudah selamat dimulakan.Sedang aku berjalan-jalan tanpa arah beberapa hari lepas, aku mula terfikir zaman aku muda-muda dulu.
Zaman bila mana mahu membeli pen sebatang pun mengambil masa 20 minit sebab nak uji pen mana yang sedap ditulis dan seterusnya membuat perbandingan harga.
Secara rasionalnya, aku akan ambil sebatang pen yang tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah. Tidak secikai pen kerajaan Malaysia dan tidak sehebat pen pilot yang cikgu-cikgu pakai sekarang ni untuk meletakkan markah kosong di atas kertas murid yang
Soalannya: Kenapa orang kaya bila membeli mesti mahu menang memakai?
Jawapan aku:
Mungkin masa kecil-kecil dulu dia miskin sampai tiada duit mahu beli pen mahal mahupun baju sekolah bercap Kamdar ataupun di Globe Silk Store (zaman aku dulu itu sudah kira mahal!). Ambil yang kakak atau abang punya. "Ala, besar sikit takpe, nanti kamu membesarlah!" pujuk mak.
Mungkin masa kelas Pendidikan Seni dulu cikgu suruh bawak pensil kaler dia cuma mampu membawa satu kotak kecik yang cuma ada 6 warna yang kena tekan-tekan supaya keluar kaler dengan lebih pekat kemudian cuma yang dapat adalah kertas yang koyak. Kawan-kawan lain? Of course Luna untuk pencil kaler, Buncho untuk krayon, cap PANDA paling cikai untuk water colour.
Mungkin juga masa masuk aje sekolah, semua orang mampu beli kasut Pallas Jazz dan Spark tapi dia hanya mampu beli kasut tidak berjenama dari pasar malam yang harganya 3 sepuluh ringgit. "Lagi dua boleh dikongsi dengan adik-adik" bilang mak.
Mungkin juga bila zaman kamera berdigital 35mm sudah dikomersialkan, dia hanya mampu membeli kamera pakai buang kerana tidak mampu untuk membeli yang mahal. Mungkin terpaksa mengikat perut berkira duit belanja untuk makan tapi masih juga tidak cukup untuk membeli kamera tersebut. Yang mampu, cuma kamera cap TECHNIKA. Konika pun jauh lagi lah! Itupun sudah berpuasa dan menahan makan ikan keras di dewan selera selama 6 bulan.
Mungkin juga bila zaman mahu melaram, bedal aje baju abang atau kakak dan cuba menjadi kreatif dengan meletakkan renda di hujung kain ataupun buang pesak baju kurung untuk menjadikan helaian itu lain dari yang lain. Kreatiflah konon masa itu. Bila hal make-up pula, curi-curi untuk pakai lipstick mak padahal satu batu mak dah boleh nampak sambil bebel-bebel, "karang mak beli yang baru" padahal dia beli yang kat pasar malam jenama Mebelin dan kaler oren.
Mungkin bila kawan-kawan mahu beriadah ke Genting Highlands ataupun ke Pulau Pinang tidak berkesempatan untuk ikut serta sebab mak ayah tak mampu nak bayar RM15 waktu itu sebab nak belikan ikan untuk seminggu. Hampa lagi.
Mungkin atas sebab-sebab di atas, "orang kaya" ini cuba untuk belajar dengan lebih tekun dengan harapan bila dia kaya nanti, anak-anak beliau tidak perlu untuk menanggung rasa perit yang beliau alami semasa zaman kecilnya dulu. Dan kerana itulah, dia cuba untuk menang memakai kerana padanya, "dulu aku tak pernah rasa se"best" begini"
Oh ye, oleh kerana ramai sangat dah bising tak boleh tinggalkan pesanan di sini, aku dengan besar hatinya akan meletakkan ruangan komen untuk beberapa ketika.
Sila gunakan kemudahan ini dengan sebaiknya.
Terima kasih! :D