Aku: Menu apa sahaja yang ada?
Pelayan: Lihat sahajalah, semuanya pun inshallah ada, mengikut kesesuaian.
Aku: Aku tidak mahu apa-apa, cukup apa yang telah disajikan padaku.
Pelayan: Tidak mahu merasa yang lebih nikmatkah, yang lebih bagus?
Aku: Aku bersyukur dengan apa yang ada, alhamdulillah
Pelayan: Walaupun yang bakal saya tunjukkan ini berganda bagus dari apa yang saudari ada?
Aku: Aku tetap bersyukur dengan apa yang ada, tidak mahu meminta lebih.
Pelayan: Boleh ditanya kenapa?
Aku: Kerana sang dia telah memetik pohon kasihku, dia telah menjentik senyuman dari lurah hatiku, dia telah menganyam pandangan sayangku, dialah yang pertama membuat aku seperti yang aku sekarang. Aku tidak mahu meminta lebih.
Pelayan: Walaupun anda perlu beratur menunggu si dia? Dan terpaksa menunggu lama?
Aku: Aku berharap pada rezeki Allah, Dia yang menentukan segala-Nya
Pelayan: Tidak mahu berusaha untuk yang lain?
Aku: Jasad aku masih belum menerima, roh aku masih berzikiran namanya.
Pelayan: ...walaupun dia tidak lagi memetik, menjentik dan menganyam hidupmu?
Aku: Ya, kerana dia yang aku percaya telah membuat hidup aku hampir sempurna.
Pelayan: Mahu ditawarkan seseorang yang lebih bagus dari itu?
Aku: Kau begitu bersemangat sekali ya? Apakah kau yakin orang itu mampu memadam rasa kasihku pada pilihanku?
Pelayan: Itu tugas saya, menyarankan yang terbaik untuk yang terbaik
Aku: Terima kasih, aku tetap berpegang pada yang telah menyentuh aku
Pelayan: Tidak menyesal kerana menolakkan yang ini?
Aku: Jika sesal yang kau katakan, pasti Allah hampa dengan setiap ketenangan yang aku tunjukkan dalam setiap dugaan yang telah diberikan oleh-Nya
Pelayan: Pastikah tidak mahu yang lain?
Aku: Hatiku hanya untuknya, jiwaku terukir namanya, rinduku berkait bebenang hidupnya, dan senyumku pasti yang amat manis hanya untuknya.
Pelayan: Jika saya berikan seseorang yang persis sepertinya, cuma lebih kasih dan sayangnya, mahu?
Aku: Aku tetap berpegang pada pendirianku
Pelayan: Saya yakin lelaki yang saya cadangkan ini mampu membahagiakanmu, membuatkan hidupmu amat sempurna
Aku: Aku syukur dengan kasih sayang yang telah ada
Pelayan: Anda yakin dia mampu bahagiakanmu untuk masa hadapan?
Aku: Aku berserah pada Allah untuk menentukan, itu luar kawalan aku.
Pelayan: Tapi anda ditawarkan lelaki yang lebih baik daripada yang ada sekarang, anda betul tidak menyesal?
Aku: Ya, aku takkan sesali keputusanku. Itu semua ketentuan dari-Nya
Pelayan: Apa kata jika saya hilangkan memori yang ada, saya tawarkan orang yang baru bersama memori yang baru?
Aku: Tidak mahu, apa yang berlaku dahulu - itulah aku sekarang. Aku sangat berterima kasih pada lelaki itu.
Pelayan: Mengapa mahu berkeras? Sedangkan anda tahu lelaki itu sudah pergi?
Aku: Kasih sayang yang pernah dicurahkan olehnya hidup selamanya dalam hati, membawa aku ke penghidupan yang seterusnya. Mahukah aku meminta lebih?
Pelayan: Ya, anda telah diberikan peluang ini, gunakanlah.
Aku: Selagi umurku masih panjang, akan ku pintal kenangan itu menjadi kekuatan aku untuk hidup dengan lebih kuat.
Pelayan: Anda perlukan lelaki, fahamkah?
Aku: Aku perlukan dia, faham kan?
Pelayan: Saya akan datang lagi memberikan peluang itu. Sehingga anda berubah fikiran.
Aku: Demi Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, aku masih berpegang pada pendirianku. Aku tidak boleh memberikan kasih sayang aku kepada lelaki lain melainkan si dia.
Pelayan: Jika itu katamu, saya turutkan sahaja. Jumpa lagi.
Aku: Insha'Allah